١١

Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka), dan perasaan ria gembira (di hati).

— Abdullah Muhammad Basmeih

١٢
Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera.

— Abdullah Muhammad Basmeih

١٣
Mereka berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk;

— Abdullah Muhammad Basmeih

١٤
Sedang naungan pohon-pohon Syurga itu dekat kepada mereka, dan buah-buahannya pula dimudahkan (untuk mereka memetiknya) dengan semudah-mudahnya.

— Abdullah Muhammad Basmeih

١٥
Dan (selain itu) diedarkan kepada mereka (oleh pelayan-pelayannya): bijana dari perak dan piala-piala minuman yang keadaannya laksana kaca (nampak jelas isinya) -

— Abdullah Muhammad Basmeih

١٦
(Keadaannya laksana) kaca, (sedang ia) dari perak; pelayan-pelayan itu menentukan kadar isinya sekadar yang cukup betul dengan kehendak penggunanya.

— Abdullah Muhammad Basmeih

١٧
Dan mereka dalam Syurga itu, diberi minum sejenis minuman yang campurannya dari "Zanjabil",

— Abdullah Muhammad Basmeih

١٨
Iaitu sebuah matair dalam Syurga, yang disebutkan sifatnya sebagai "Salsabil".

— Abdullah Muhammad Basmeih

١٩
Dan mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka; apabila engkau melihat anak-anak muda itu, nescaya engkau menyangkanya mutiara yang bertaburan.

— Abdullah Muhammad Basmeih

٢٠
Dan apabila engkau melihat di sana (dalam Syurga itu), engkau melihat nikmat yang melimpah-limpah dan kerajaan yang besar (yang tidak ada bandingannya).

— Abdullah Muhammad Basmeih

Notes placeholders